SINGAPURA 7 April – Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyertai majlis berbuka puasa bersama 300 jemaah di Masjid Al-Khair , Teck Whye Crescent semalam.
Sepanjang lebih sejam di masjid, beliau sempat beramah mesra dengan para relawan masjid yang bertungkus lumus menyiapkan juadah berbuka.
Menurut Lee, perpaduan masyarakat Islam membuat persiapan bagi aktiviti Ramadan sangat menyerlah dan membawa kegembiraan bagi sesiapa pun yang memerhatikannya.
“Ia merupakan masa yang sibuk bagi semua. Ini termasuk kakitangan dan sukarelawan masjid yang menyediakan dan mengedarkan bubur, menyiapkan juadah berbuka puasa, membuat persiapan bagi solat,” katanya melalui Facebooknya.
Beliau berkata pada masa yang sama, golongan kurang upaya serta mereka yang memerlukan, tidak dilupakan.
“Malam ini juga masuk hari ke 16 Ramadan. Ini bermakna teman-teman Muslim kita telah berjaya berpuasa dan sampai di garisan pertengahan bulan Ramadan.
Menjelang Hari Raya Puasa yang semakin dekat, saya harap hari-hari mendatang dipenuhi dengan kasih sayang dan kesyukuran. Selamat meneruskan ibadah puasa dan selamat meraih nikmat Ramadan!,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman dan Menteri Negara Kanan, Zaqy Mohamad, Menteri Negara, Dr Faishal Ibrahim dan Datuk Bandar, Daerah Tenggara, Fahmi Aliman.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dan Menteri Negara, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling turut hadir di samping pimpinan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) termasuk Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
