MELAKA 5 April – Sepuluh Timbalan Exco kerajaan negeri Melaka akan diumumkan esok yang akan turut membabitkan wakil daripada Pakatan Harapan (PH) sekali gus mencerminkan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Menterinya Ab Rauf Yusoh berkata, semua Exco akan mempunyai timbalan masing-masing.
“Komposisinya (senarai Timbalan Exco) cantik, menarik dan meletakkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berperanan untuk bersama-bersama dengan Exco yang dilantik di bawah pentadbiran saya menjadi lebih mantap,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Mengulas tentang pelantikan Timbalan Exco kerajaan negeri sebagai satu pembaziran, Ab Rauf berkata ia terpulang dan bergantung kepada pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.
Katanya, pelantikan Timbalan Exco di bawah pentadbirannya bersesuaian dengan keperluan sedia ada bagi mewujudkan kerjasama lebih erat bagi kedua-dua jawatan itu untuk membangunkan Melaka ke arah lebih cemerlang.
“Terserah kepada pucuk pimpinan pada waktu dan ketika itu tapi bagi saya, waktu ini saya memerlukan semua wakil rakyat untuk menunjukkan bahawa tidak ada yang tidak diberikan peranan untuk bersama saya membangunkan Melaka,” katanya.
Mengenai barisan Exco yang dilantik hari ini, beliau berkata ia sesuai dengan portfolio yang dibentuk dan mencerminkan Kabinet kerajaan Persekutuan yang mengkombinasikan dua hingga tiga kementerian di bawah satu portfolio.
Beliau yakin gabungan Exco yang dilantik adalah mantap dan dilihat dapat menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik serta mewujudkan kebersamaan antara kepimpinan kerajaan perpaduan di Melaka.
“Kematangan politik bermula di Melaka … kita telah masuk dalam era politik baharu, satu penjanaan kuasa politik iaitu ‘political cooperation’,” katanya.
Barisan Exco yang mengangkat sumpah hari ini menyaksikan tiga muka baharu dilantik termasuk seorang daripada Pakatan Harapan (PH) manakala dua lagi yang menganggotai barisan Exco sebelum ini, digugurkan.
ADUN Kesidang Seah Shoo Chin yang menjadi wakil tunggal PH dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
Dua lagi muka baharu ialah ADUN Asahan Fairul Nizam Roslan yang dilantik sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital; dan ADUN Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan.
Sementara dua yang digugurkan ialah ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan dan ADUN Serkam Datuk Zaidi Attan ( Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar).
Untuk rekod Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, secara lantang mendakwa Melaka akan mempunyai ketua menteri ‘pintu belakang’ di sebalik penggantian Ketua Menteri sedia ada.
“Ini spesis baharu kelahiran UMNO dan Barisan Nasional,” katanya mengulas pertukaran Ketua Menteri itu.
Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.
