BEIJING 1 April – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Li Qiang di Dewan Besar Rakyat di sini petang ini, pertemuan rasmi pertama ke atas Qiang selepas menerajui Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri disambut Qiang menerusi satu upacara rasmi, dimulai dengan masing-masing memperkenalkan barisan menteri serta delegasi disusuli acara memeriksa perbarisan kawalan kehormat oleh Anwar diiringi Qiang.
Mereka kemudiannya menuju ke bilik mesyuarat bagi meneruskan pertemuan dua hala, diikuti Anwar dan Qiang menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan China.
Selesai menyaksikan MoU itu, Anwar dan delegasi menghadiri majlis berbuka puasa dihoskan Qiang, bertempat di Dewan Besar Rakyat.
Tiga MoU yang dimeterai membabitkan protokol untuk meminda perjanjian bagi memperluas dan memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kerajaan Malaysia dan China, membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari Malaysia dan Kementerian Perdagangan dari China.
Selain itu, protokol keperluan fitosanitasi untuk pengeksportan nangka ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dari Malaysia (MAFS) dan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) turut dimeterai.
Protokol terakhir ditandatangani berkait keperluan kuarantin dan kesihatan untuk import makanan akuakultur dari Malaysia ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dari Malaysia (MAFS).
Bersama dalam delegasi Anwar, Menteri Luar, Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Turut sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pelancongan dan Budaya, Tiong King Sing; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong.
