BAGAN DATUK 1 April – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu bagi kerajaan Melaka mesti menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, adalah lebih baik menzahirkan kebersamaan parti Kerajaan Perpaduan walaupun Barisan Nasional (BN) menguasai tiga perempat kompisisi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini.
“Lebih baik jika Kerajaan Negeri Melaka dapat menggambarkan kebersamaan dan perkongsian kuasa dengan ADUN yang dipilih rakyat daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh mengenai pelantikan barisan Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian selepas Majlis Tadarus al-Quran Perdana sempena Ramadhan 1444H peringkat Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk dekat sini, hari ini.
Katanya, kestabilan Kerajaan Perpaduan di Melaka bakal menyumbang kepada kemenangan parti komponen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.
“Kerjasama antara BN dan Kerajaan Perpaduan melalui pengagihan kerusi sudah dimulakan dan kestabilan politik di Melaka akan menyumbang terhadap kebolehmenangan di enam negeri pada PRN akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga merasmikan Program Gerak Rahmah 2023 : Jom Masak Bubur Lambuk anjuran Kementerian Perpaduan Negara bersama warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT)
Program ini sedang berlangsung di seluruh negara di Negeri Perak sahaja lebih 300 KRT terlibat dalam menyediakan bubur lambuk untuk diedar di tempat masing-masing.
