LABUAN 1 April – Sebanyak 140 unit kondominium Ganggarak Permai 14 tingkat yang melibatkan peruntukan RM30.6 juta di bawah skim bantuan perumahan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diserahkan kepada asnaf yang layak.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan menyerahkan Rumah Asnaf MAIWP itu.
Ini adalah inisiatif pertama seumpamanya dilaksanakan di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
MAIWP turut menambah peruntukan RM3.2 juta untuk peralatan keperluan rumah, deposit bil air dan elektrik, jeriji keselamatan dan kabinet dapur disamping turut dilengkapi masjid, taman permainan kanak-kanak dan dewan serba guna.
Inisiatif Rumah Asnaf tersebut akan dapat mewujudkan ekosistem bernilai yang mampu menguruskan wang zakat untuk skim bantuan perumahan MAIWP dengan berkesan.
Ianya juga akan membolehkan penerima kondominium tinggal di sana tanpa perlu membayar sewa bulanan serta MAIWP merupakan pemilik asal kesemua unit itu dan ia boleh digunakan untuk kumpulan asnaf yang lain pada masa depan.
Selepas penyerahan rumah itu, baginda berdua meluangkan masa bermesra dengan penerima dan melawat unit kondominium berkenaan.
