MASJID TANAH 30 Mac – “Dah penatlah, bagi dia orang pula,”. Itu jawapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Sulaiman Md Ali apabila ditanya mengenai peletakan jawatannya.sebagai Ketua Menteri Melaka.
Beliau berkata, keputusan itu ikhlas dan tiada desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak untuk beliau meletakkan jawatan sebaliknya tindakan itu mengikut desakan hati, yang datang dari naluri.
Menyifatkan perkara itu selesai, beliau yang menjawab sama ada desakan hati itu menyebabkan ‘hati sakit’, Sulaiman berkata: Jangan sakit hati, sebab sakit hati ini datangnya sakit janting. Jangan macam tu,”
Pada masa yang sama, Sulaiman berkata, langkah itu dapat merealisasikan hasrat untuk memegang jawatan itu hanya sepenggal.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Ketika wakil media menghampirinya untuk mengulas perkembangan semasa itu, beliau berkata: “Apa nak komen lagi, kenyataan sudah dikeluarkan kerajaan negeri dan Presiden UMNO. Apa yang (mereka) cakap, itulah dia (yang sebenarnya),”
Sulaiman mengakui sudah beberapa kali menyatakan hasrat melepaskan jawatan itu kepada Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, namun tidak ditunaikan.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan penggantinya kelak dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan sempurna berbanding sekarang.
“Masing-masing ada kelebihan, kita mesti sokong dan saya harap siapa saja yang akan menggantikan saya, buatlah yang terbaik demi rakyat dan negeri Melaka ini,” katanya.
Ditanya mengenai masalah kesihatan seperti dimaklumkan Ahmad Zahid sebagai sebab peletakan jawatan, Sulaiman berkata: “Kadang-kadang pening, demam, kita manusia mana ada sentiasa sihat, ini pun lepas batuk,”.
Dan sebelum meninggalkan majlis itu, beliau ketika menjawab soalan wartawan berkata: Kalau saya sakit, tak sampai sini.Saya cakap steady jer”.
Terdahulu, di Kuala Lumpur, Ahmad Zahid ketika ditanya sama ada Sulaiman ada memaklumkan sebab peletakan jawatan, Presiden UMNO itu berkata, ia disebabkan masalah kesihatan.
Sulaiman sebelum ini kali pertama menjadi Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka ke-11 pada 11 Mac 2018 selepas Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka sebagai Ketua Menteri.
Melaka kemudian terpaksa pula mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman dan menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, selepas PRN Melaka November 2021 lalu, situasi politik di negeri ini beberapa kali berdepan detik genting apabila timbul dakwaan kononnya jawatan ketua menteri akan bertukar tangan.
Ketika itu timbul desas-desus kuat mengatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga ADUN Tanjung Bidara bakal menggantikan Sulaiman.
