PUTRAJAYA 30 Mac – Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata larangan penjualan ikan buntal sudah ditetapkan dengan jelas mengikut Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.
Di samping itu, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 turut menerangkan dengan jelas mengenai larangan penjualan makanan mengandungi atau di atasnya bahan beracun, berbahaya atau sebaliknya yang memudaratkan kesihatan.
“Oleh itu, ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual,” katanya dalam kenyataan, hari ini susulan kes seorang wanita maut manakala suaminya dimasukkan ke Unit Rawapan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) selepas makan hidangan ikan buntal.
Menurut beliau sebanyak 58 kes keracunan ikan buntal membabitkan 18 kematian dilaporkan sejak 1985 hingga Mac tahun ini.
Tambahnya, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD), Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah menghasilkan bahan pendidikan sebagai langkah meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung toksin berbahaya dalam ikan buntal.
Katanya, hasil tinjauan oleh FSQD KKM pada 2019 menunjukkan 86 peratus daripada responden yang terdiri daripada orang awam, penjual ikan, nelayan dan tukang masak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai bahaya pengambilan ikan buntal.
Menurut laporan media, ikan buntal iaitu sejenis ikan yang juga disebut ‘ikan fugu’ tergolong dalam satu daripada jenis racun semulajadi yang paling bahaya dan mematikan di dunia, dibeli dari pembekal di Batu Pahat yang mendapatkan bekalan dari nelayan di Endau.
Racun yang dikenali sebagai Tetrodotoksin yang terdapat di dalam ikan buntal adalah racun yang boleh menyerang sistem saraf dan sangat berbahaya.
Racun ini didakwa lebih mematikan dibandingkan racun sianida (cyanide).
Memakan sekitar 1-2 miligram racun tetrodotoksin sahaja boleh menyebabkan risiko kematian.
Proses membersihkan ikan buntal perlu berhati-hati kerana racun jenis tetrodotoksin tersimpan di dalam hati, kelenjar kelamin, kulit dan usus ikan buntal.
Cara membuang organ tersebut harus secara hati-hati dengan teknik khusus agar daging ikan tidak tercemar dengan racun tersebut.
Selalunya ikan buntal hanya dihidangkan secara selamat dimakan oleh restoran yang pakar membuatnya sahaja. Racun tetrodotoksin tidak akan hilang walau ikan buntal dimasak atau dibekukan.
Jika tidak diproses dengan betul, racun dari organ tubuh ikan buntal boleh menyebar dan terserap ke dalam dagingnya.
