KM Melaka baharu angkat sumpah esok

AYER KEROH 30 Mac –  Istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diadakan pukul 3 petang esok berikutan peletakan jawatan  Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Zaidi Johari dalam kenyataannya berkata, istiadat itu akan berlangsung di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Kompleks Seri Negeri, di sini.

“Adalah dimaklumkan bahawa, TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka sudah pun menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.

“Sehubungan itu, berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka, TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

“Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 akan diadakan esok jam 3 petang,” katanya.

Beberapa nama pemimpin UMNO negeri disebut-sebut untuk menggantikan Sulaiman, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga ADUN Tanjung Bidara, Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, Sulaiman memasuki pejabatnya di Seri Negeri, di sini buat kali terakhir, pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu yang tiba di Kompleks Seri Negeri kira-kira pukul 9 pagi, dikatakan hanya bertemu pegawai dan kakitangan pejabatnya sebelum keluar pukul 11 pagi ini.

Related posts

Leave a Comment