Jakim sedia tambah baik proses sijil halal

PUTRAJAYA 30 Mac –  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) komited dan bersedia meneliti kaedah yang terbaik dan bersesuaian bagi memastikan proses pengeluaran sijil halal Malaysia menjadi lebih efisien dan efektif.

Ketua Pengarahnya,  Hakimah Mohd Yusoff, berkata ia bagi memastikan dapat memenuhi kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa tanpa mengabaikan aspek pematuhan hukum serta standard yang ditetapkan.

“Jakim menyambut baik hasrat dan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar proses pensijilan halal Malaysia ditambahbaik dan mengurangkan karenah birokrasi bagi memberi kemudahan kepada industri.

“Sebagai pihak berkuasa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD2011) yang telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, Jakim di bawah penyelarasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) bersama- sama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa komited dan bersedia melaksanakan kaedah terbaik berhubung perkara itu ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khamis lalu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Majlis Halal Malaysia bersetuju bahawa satu mekanisme atau proses baharu perlu dilaksanakan bagi mencepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Beliau dilaporkan berkata, ia memandangkan pengeluaran sijil halal ketika ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk diluluskan berikutan beberapa kekangan termasuk kerenah birokrasi.

Related posts

Leave a Comment