BUTTERWORTH: Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mempertahankan pelantikan Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Katanya, pelantikan itu dibuat bersandarkan kelulusan dan pengalamannya, dengan memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam perbankan Islam dan menyertai sektor perbankan Islam sebelum menceburi politik.
Berikutan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menyatakan adalah rugi jika bekas Ketua Pemuda UMNO itu tidak dilantik dengan kelulusan serta pengalamannya untukk membantu Mara.
“Beliau bukan hanya seorang ahli politik, sebaliknya berada dalam sektor perbankan sebelum ke bidang politik,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas kecaman kononnya jawatan Asyraf Wajdi adalah lantikan politik yang masih berterusan dalam era pentadbiran semasa.
Mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berhubung pelantikan ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ia berdasarkan garis panduan Kabinet dan mengikut nasihat Perdana Menteri.
“Jangan hanya kerana seseorang itu memegang jawatan politik seperti ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tetapi lihat latar belakang dan kelulusan serta pengalaman mereka.
“Dalam hal ini, kita tidak akan melantik individu yang tidak memberi sumbangan kepada organisasi diketuainya,” katanya.
Asyraf Wajdi 47 yang dilantik mulai 10 Mac lalu pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuat kuasa 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.
Sebelum ini, jawatan Pengerusi Mara disandang bekas Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Dun sejak 1 Mei 2020.
