Pemilihan UMNO kukuh Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR 20 Mac – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Pemilihan UMNO 2023 membawa mesej kemenangan pasukan yang meyakinkan sekali gus berupaya memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya ketika ini.

“Setinggi tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan yang menunjukkan satu kemenangan pasukan yang meyakinkan dan dengan ini, ia akan memperkukuh Kerajaan Perpaduan,” kata Perdana Menteri

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid dan Fadillah Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dan Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Anwar berkata, komitmen kehadiran yang ditunjukkan pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan pada mesyuarat itu juga memberi jaminan dan bukti dokongan kuat semua kepada kerajaan.

Sementara itu, Anwar berkata, satu konvensyen akan diadakan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memastikan adanya hala tuju pemikiran dasar yang jelas oleh kerajaan.

Beliau juga memberitahu, agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan dimuktamadkan dalam tempoh singkat.

Perdana Menteri berkata, ia akan dibincang secara terperinci oleh jawatankuasa yang dibentuk membabitkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Related posts

Leave a Comment