KUALA LUMPUR 19 Mac – Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir, antara pemimpin yang melepasi garis kemenangan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan yang berlangsung semalam.
Setakat pukul 7.20 pagi ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berada di kedudukan kedua dengan 131 undi di belakang Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, yang memperoleh 134 undi.
Ini diikuti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz yang memperoleh 130 undi.
Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan yang menang Ketua UMNO bahagian Pontian juga tersenarai dengan 124 undi sama jumlah yang diperoleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Bung Mokhtar Radin.
Bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim pula memperoleh 114 undi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub 112 undi.
Sementara itu, bagi naib-naib Presiden, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail terus mendahului dengan 112 undi diikuti penyandang Naib Presiden, Mohamed Khaled Nordin dengan 101 undi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani pula meraih 93 undi diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said 62 undi.
Untuk rekod, lapan calon menawarkan diri untuk tiga jawatan Naib Presiden manakala 95 orang menawarkan diri untuk 25 jawatan MKT.
