Situasi banjir di Johor makin baik

JOHOR BAHRU 19 Mac – Situasi banjir di Johor menunjukkan perkembangan yang baik apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan setakat pukul 8 pagi ini, berbanding malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani, berkata jumlah mangsa banjir setakat ini tinggal 17,125 orang (4,907 keluarga) berbanding 19,041 mangsa (5,424 keluarga) pada pukul 8 malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor memaklumkan, semua mangsa itu kini ditempatkan di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

Dalam kenyataannya, beliau berkata sehingga kini, masih terdapat dua daerah yang terjejas iaitu Batu Pahat seramai 17,123 orang (4,906 keluarga) di 69 PPS, manakala Segamat kekal dengan kepada dua orang mangsa banjir (satu keluarga) di satu PPS.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan lebat, mahu pun ribut petir pagi ini.

Berdasarkan laporan cuaca sebenar pula menunjukkan semua daerah dilaporkan cerah kecuali Kota Tinggi yang hujan pagi ini.

Di samping itu, terdapat lima jalan di Batu Pahat yang masih ditutup akibat banjir, tetapi dibuka untuk kenderaan berat saja.

Jalan yang masih terjejas akibat banjir adalah Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal.

Related posts

Leave a Comment