Shahrizat ucap tahniah kepada Noraini

KUALA LUMPUR 12 Mac – Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Shahrizat Abdul Jalil menerima kekalahan dengan hati terbuka selepas gagal untuk kembali memegang jawatan yang ditinggalkannya pada 2018 itu.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dalam kemas kini di laman Facebook  semalam, turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad  kerana berjaya mengekalkan jawatan itu.

Beliau berharap Noraini akan membawa Wanita UMNO ke satu tahap yang lebih cemerlang.

“Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Noraini atas kemenangan beliau dan mengekalkan selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Norliza Rahim yang telah berjaya mengekalkan jawatan beliau selaku Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia dan juga kepada barisan Exco Wanita UMNO Malaysia,” katanya.

Menurut Shahrizat, beliau berasa bertuah kerana diberi peluang untuk meraikan demokrasi dalam UMNO.

Tulis Shahrizat : “I have enjoyed every minute of my time with Wanita UMNO and reconnecting with them and other party members. (Saya rasa seronok setiap minit masa saya bersama Wanita UMNO dan berhubung semula dengan mereka serta ahli parti yang lain).

Katanya, walaupun tidak ada rezeki memenangi semula jawatan itu, beliau pasti ada hikmah di sebalik keputusan itu.

Related posts

Leave a Comment