Sultan Selangor rasmi Hospital Cyberjaya

SEPANG 9 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya hari ini yang bakal memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk di daerah Sepang dan sekitarnya.

Hospital pakar major dengan 14 disiplin kepakaran itu juga akan membantu mengurangkan kesesakan dan kadar penggunaan katil di hospital berdekatan terutama di Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.

Antara disiplin kepakaran adalah Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Perubatan Kecemasan dan Bius, Perkhidmatan Patologi, Radiologi serta Diet dan Sajian.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hospital itu yang dibangunkan dengan peruntukan RM508.8 juta, mula beroperasi pada 11 November tahun lalu.

Hospital Cyberjaya yang mula dibina pada 15 Ogos 2017 di tapak seluas 4.9 hektar adalah projek Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Ia mempunyai kapasiti 288 katil dan dilengkapi lapan dewan bedah termasuk dua untuk kepakaran Oftamologi serta pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT).

Hospital itu juga mempunyai sepuluh bilik bersalin untuk keperluan penduduk setempat dan turut dilengkapi dengan satu unit mesin CT-Scan.

Ia juga akan mempunyai perkhidmatan pergigian dengan kapasiti 7 unit kerusi pergigian yang mana menyediakan Perkhidmatan Kepakaran Pergigian Bedah Mulut Maksilofasial dan Kepakaran Pergigian Pediatrik.

Hospital Cyberjaya juga menyediakan perkhidmatan Audiologi bagi pesakit kanak-kanak dan dewasa dengan adanya dua bilik khas yang direka khusus, yang menawarkan perkhidmatan termasuklah ujian saringan pendengaran dan ujian diagnostik.

Selain itu, Hospital Cyberjaya adalah hospital pertama di negara ini bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang menekankan faktor kelestarian dan kecekapan tenaga menerusi reka bentuk.

Related posts

Leave a Comment