Anwar tidak campur SPRM panggil Muhyiddin

KUALA LUMPUR 9 Mac – Anwar Ibrahim menolak dakwaan pihak tertentu yang mengatakan semua kes membabitkan pemimpin parti yang disiasat atau dihadapkan ke mahkamah bermotifkan politik.

Justeru Perdana Menteri juga menegaskan beliau tidak mencampuri urusan membabitkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang dipanggil memberi keterangan, dipercayai berhubung kes salah guna dana awam.

Beliau sebaliknya berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu tengok kes. Saya tidak campur tetapi saya beritahu semua agensi termasuk SPRM dan Peguam Negara, tengok kes.

“Jadi orang setuju tak setuju, (kena) tengok kes. Apa pendakwaannya, apa pertuduhannya. Belum tahu apa keputusan setakat ini, … (Muhyiddin) hanya dipanggil,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tidak benar untuk pihak tertentu mengatakan semua kes membabitkan pemimpin parti yang disiasat atau dihadapkan ke mahkamah bermotifkan politik.

“Tetapi untuk mengatakan semua kes yang kita ambil itu ada motif politik, maknanya tak bolehlah, maknanya tangkap, kes-kes rasuah lain yang besar-besar, semua lepas?

“Sebab itu saya kata kena lihat dulu ada kes atau tidak. Ini urusan SPRM. Sampai sekarang saya tidak tahu apa akhirnya,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan, semua rakyat yang mahu negara ini bersih daripada rasuah, harus melihat kes terbabit satu persatu, sama ada benar pendakwaan politik atau berdasarkan fakta.

“Yang saya sebut selama ini, Jana Wibawa (Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa), tebatan banjir, itu berdasar dokumen Kementerian Kewangan, bukan (dari) SPRM atau Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Muhyiddin hari ini hadir di Ibu Pejabat SPRM pukul 11.18 pagi, bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan Muhyiddin akan didakwa di mahkamah esok.

Related posts

Leave a Comment