Larangan orang politik ceramah di masjid

IPOH 7 Mac – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengeluarkan arahan melarang individu yang berjawatan politik mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di masjid dan surau berdaftar di bawah jabatan itu.

Larangan itu meliputi wakil rakyat, Ahli Dewan Negara, calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya, individu yang sudah bersara sebagai Ahli Dewan Negara serta wakil rakyat tetapi masih aktif dalam kegiatan politik.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata peraturan itu terkandung dalam pekeliling Garis Panduan Larangan Mengajar serta Bersyarah di masjid dan surau JAIPk bertarikh 6 Mac 2023.

Katanya , ketetapan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak itu diedarkan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Perak.

“Larangan itu terpakai kepada individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan itu, larangan itu turut terpakai kepada mereka dalam kumpulan berkenaan dari negeri-negeri lain.

Katanya, jawatankuasa Kariah Masjid dan Kariah Surau dikehendaki memantau aktiviti mengajar atau bersyarah supaya selari dengan matlamat pengajaran dan syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu serta pemupukan perpaduan masyarakat.

Pada 7 Januari lepas, media melaporkan keputusan sama ada menarik balik tauliah mengajar agama kepada semua wakil rakyat di Perak atau sebaliknya akan dibincangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 26 Januari 2023.

Related posts

Leave a Comment