KUALA LUMPUR 7 Mac – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berjanji memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, sekiranya Perikatan Nasional (PN) dapat memulakan rundingan berhubung perkara itu dengan kerajaan.
Justeru beliau mencadangkan proses rundingan diadakan dan akan menugaskan Ketua Whip dan menteri berkenaan berunding.
“Kalau cepat selesai, cepat lulus. Kalau selesai esok, lusa kita boleh lulus,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan tambahan Shahidan Kassim (PN-Arau).
Perdana Menteri menegaskan tidak pernah menolak permintaan pembangkang berhubung pemberian peruntukan, namun PN tidak pernah cuba memulakan rundingan sebaliknya terus bergaduh dengan kerajaan.
Beliau berkata, situasi itu berbeza berbanding ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, di mana pemberian peruntukan yang adil kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bermula dengan rundingan antara kerajaan ketika itu dengan Pakatan Harapan (PH).
Anwar juga menegaskan tidak pernah memaklumkan bahawa kerajaan tiada peruntukan untuk disalurkan kepada pembangkang, dan tidak akan berlaku ‘zalim’ seperti pentadbiran terdahulu yang tidak menyalurkan peruntukan kepada kerajaan.
“Saya tidak pernah mengatakan tidak ada (peruntukan kepada pembangkang). Sepanjang Yang Berhormat Pagoh (Muhyiddin Yassin) jadi Perdana Menteri, kita tak dapat peruntukan.
“Tapi tak apa sebab ini kerajaan madani, maknanya madani mesti adil. Maknanya, dulu Yang Berhormat Pagoh tak adillah? Itu maksud Yang Berhormat Arau?
“Yang Berhormat Arau kata jangan ikut pengalaman lama yang tak beri peruntukan kepada pembangkang kerana itu tidak adil. Malah kalau ikut Yang Berhormat Marang (Abdul Hadi Awang), dia kata zalim. Saya tidak mahu zalim,” katanya.
(Foto FB Shahidan Kassim)
