25,213 dipindah, semua daerah di Johor terjejas

JOHOR BAHRU 2 Mac – Jumlah mangsa banjir di Johor yang dipindahkan ke 187 pusat pemindahan sementara (PPS) melonjak kepada 25,213 orang setakat pukul 8 pagi ini membabitkan 7,013 keluarga di 10 daerah terjejas banjir.

Perangkaan tersebut menunjukkan keadaan banjir bertambah buruk berbanding setakat pukul 8 malam tadi di mana 9,167 penduduk daripada 2,760 keluarga ditempatkan di 90 PPS di enam daerah

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata keadaan banjir melanda negeri ini disifatkan antara terburuk pernah dihadapi dalam tempoh beberapa tahun ini berikutan semua daerah terjejas bencana itu.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, keadaan hujan lebat berterusan berserta fenomena air pasang menyebabkan keadaan banjir semakin buruk dan menjejaskan ramai penduduk.

Katanya, Segamat menjadi daerah paling terjejas dengan 7,272 mangsa daripada 2,050 keluarga di 55 PPS, diikuti Kluang dengan mangsanya melonjak kepada 5,426 penduduk daripada 1,559 keluarga yang ditempatkan di 39 PPS.

Dalam satu kenyataan, hari ini beliau berkata Batu Pahat melibatkan 3,236 mangsa banjir daripada 883 keluarga di 22 PPS. Kota Tinggi pula dengan 2,912 mangsa daripada 769 keluarga di 18 PPS.

Di Johor Bahru juga keadaan masih teruk dengan 2,096 mangsa daripada 607 keluarga di 12 PPS manakala di Muar pula dengan 1,667 mangsa daripada 445 keluarga di 12 PPS.

Seramai 952 mangsa daripada 242 keluarga ditempatkan di enam PPS di Kulai, 930 di Tangkak daripada 254 keluarga di 13 PPS, diikuti Mersing 472 mangsa daripada 146 keluarga di lima PPS dan Pontian membabitkan 250 mangsa daripada 58 keluarga di lima PPS.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) masih mengekalkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga hari ini, namun ramalan cuaca di beberapa daerah menyatakan keadaan cuaca lebih baik.

Sementara itu operasi banjir di Kg Jawa Baru Chaah, Segamat. Pasukan SMART, NADMA telah berjaya mengeluarkan mangsa terperangkap seramai 27 org dewasa, kanak-kanak dan bayi.

Related posts

Leave a Comment