Dua dilantik isi kekosongan jawatan

PUTRAJAYA 27 Feb. – Dr Zulkapli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) manakala Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican, sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Zulkapli, 58, yang sudah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam adalah bagi mengisi kekosongan sejak Disember lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata, Johan, 50, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan.

Pelantikan Zulkapli dan Johan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah

Zulkapli berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM), selain Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji di Jepun.

Beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertama disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 Disember 1992.

Mohd Zuki berkata, pelantikan Zulkapli berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, serta pembangunan modal insan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di JPA, selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di SWCorp dan Setiausaha Persekutuan Sabah.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti dimiliki, beliau mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANi,” katanya.

Jawatan KPPA kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember tahun lalu susulan insiden tular kontroversi di antara Mohd Shafiq dengan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu.

Mengenai pelantikan Johan Mahmood, Zuki berkata, pelantikan Johan adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepemimpinan dan pengalaman luas sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.

“Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau menggalas amanah serta mendokong misi dan visi dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang cekap, telus dan berkesan, selari hasrat Malaysia Masani,” katanya.

Johan adalah lulusan kelas pertama dari University of Cambridge serta Akauntan Bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tan Corporation Malaysia Berhad (TALENT CORP); Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan MOF.

Related posts

Leave a Comment