Zambry tarik diri Naib Presiden, pertahan MKT

KUALA LUMPUR 27 Feb. –  Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN)  Dr. Zambry Abd Kadir menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden UMNO bagi pemilihan parti yang akan berlangsung bulan depan.

Berikutan keputusan itu, beliau kini menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi sesi 2023-2026.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Menteri Luar Negeri itu memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tugas rasminya dalam kerajaan.

“Banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Ia juga sekali gus membawa imej Umno yang saya wakili dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Menurut Zambry beliau juga mahu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan BN dan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat di bahagian-bahagian yang telah menyatakan sokongan kepada saya sebelum ini,” katanya.

“Semoga anda semua akan terus memberi sokongan kepada saya dan sama-sama mengenbalikan kegemilangan UMNO untuk agama, bangsa dan tanah air. Selamat berjaya kepada sahabat-sahabat yang bertanding pada  kali ini,” katanya.

Zambry pada 24 Februari lepas mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu.

Berikutan keputusan itu, saingan bagi merebut jawatan Naib Presiden kini melibatkan tujuh calon termasuk dua  penyandang iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Calon lain Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Hasni Mohammad, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Februari.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

Related posts

Leave a Comment