NEW YORK – Bank Dunia melaporkan ekonomi Gaza telah runtuh dan penduduknya sedang menghadapi kemiskinan melampau serta kebuluran di tengah-tengah serangan Israel ke atas rakyat Palestin.
Menurut laporan itu, hampir 100 peratus penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan manakala pengeboman dan sekatan Israel yang berterusan telah menyebabkan hampir dua juta orang berada di ambang kebuluran.
Sebanyak 15 peratus daripada penduduk Gaza, atau 350,000 individu, tidak mempunyai akses kepada makanan.
Selain itu, satu pertiga daripada penduduk berada dalam keadaan kecemasan, mengalami kekurangan makanan yang serius dan kadar kematian yang lebih tinggi.
Ringkasan laporan yang diterbitkan di laman sesawang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, Wilayah Palestin hampir mengalami kejatuhan ekonomi di tengah-tengah sejarah krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Situasi kemanusiaan diburukkan lagi oleh perpindahan kira-kira 1.9 juta orang, dengan tempat perlindungan penuh sesak dan perkhidmatan sanitasi yang tidak mencukupi.
Laporan mengenai keadaan seakan-akan kebuluran, kekurangan zat makanan dan penyakit semakin meningkat, manakala halangan besar terus mengehadkan akses untuk bantuan kemanusiaan, sekali gus menghalang usaha menangani krisis ini.
Nnn
