Mansuh AUKU seperti janji kempen PH

KUALA LUMPUR 27 Feb. –  Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menuntut kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Justeru, Angkatan Mahasiswa menggesa ahli-ahli Parlimen di blok kerajaan dan pembangkang bersama-sama dengan mahasiswa mahasiswi di Malaysia untuk terus menyoal dan menekan kerajaan bagi memansuhkan AUKU seperti dijanjikan.

“Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) juga harus lebih tangkas dan cepat berjumpa dengan Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin mengenai perkara berkenaan,” kata kenyataan Angkatan Mahasiswa UM.

Gesaan itu sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Pengajian Tinggi (KPT)  Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini yang menyatakan tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU.

Menurut Angkatan Mahasiswa, Kerajaan boleh memberi alasan bahawa ia tidak boleh dilaksanakan disebabkan kerajaan pada hari ini adalah ‘Kerajaan Perpaduan’ tetapi janji tetap janji.

Angkatan itu mendakwa semasa PRU ke-15, Pemuda PH dengan berdegar-degar berjanji untuk memansuhkan AUKU dan ia juga didakwa terdapat di dalam manifesto PH.

“Memetik kenyataan Khaled,  ‘undang-undang itu masih relevan terutama dalam soal pentadbiran universiti dan kerajaan terbuka untuk menambah baik AUKU dan sentiasa melibatkan pihak berkepentingan’.

“Angkatan Mahasiswa UM tidak menafikan bahawa undang-undang di setiap institusi itu perlu ada, akan tetapi jika AUKU disalahgunakan bukankah ia suatu kemunafikan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment