PUTRAJAYA 23 Feb. – Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan terus bersuara apa yang tidak betul selagi masih bernyawa.
“Selagi ada nyawa, apa yang tidak betul akan terus saya suarakan walau pahit untuk didengar oleh kumpulan yang tidak hilang deposit,” katanya melalui Facebooknya.
Dalam satu hantaran bertajuk “HILANG DEPOSIT”, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu hairan kenapa ada pihak begitu beria-ia mahu beliau tidak bersuara.
“ Saya dapati sejak selepas pilihan raya, setiap kali saya menegur atau menyatakan kerisauan berkait perkembangan semasa, saya disuruh berehat dan diam kerana kalah di dalam pilihan raya dan hilang deposit.
“Saya agak hairan kenapa begitu beria-ia mahu saya tidak bersuara. Dulu dikata saya nyanyuk. Sekarang disuruh diam kerana hilang deposit,” katanya.
Dr Mahathir pada pilihan raya umum lalu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi malahan beliau bersama calon atas tiket Pejuang hilang wang deposit.
Menurut Dr. Mahathir, setiap kebenaran itu perlu dinyata sama ada yang mendengarnya hanya seorang atau tidak ada seorang pun yang mendengar.
“Kebenaran bukan monopoli majoriti atau minoriti atau yang tidak hilang deposit. Kalau itulah ukurannya, saya rasa kumpulan minoriti perlu diam dan menerima apa sahaja keputusan majoriti walaupun salah,” katanya.
(Foto hiasan dari FB Tun Dr Mahathir)
