ISTANBUL: Kempen ‘Turkiye One Heart’ bagi mengumpul derma untuk mangsa gempa bumi berjaya mengumpul hampir 100 bilion lira Turkiye (AS$5.3 bilion) atau RM23.3 bilion dalam tempoh dua jam setakat pukul 9.15 malam tadi waktu tempatan.
Melalui siaran langsung bersama melalui 200 televisyen dan 500 saluran radio, pelbagai pihak syarikat, institusi, organisasi dan individu tampil membuat sumbangan kepada kempen berkenaan.
Setakat ini, Bank Pusat Turkiye menyumbang derma tertinggi bernilai 30 bilion lira Turkiye (AS$1.6 bilion), diikuti pemberi pinjaman kerajaan Ziraat dengan 20 bilion lira (AS$1 bilion), Vakif dengan 12 bilion lira (AS$637 juta) dan Halk dengan 7 bilion lira (AS$371.3 juta).
Syarikat telekomunikasi negara itu, Turkcell dan Turk Telekom masing-masing menderma 3.5 bilion lira (AS$185.6 juta) dan 2 bilion lira (AS$106 juta).
Konglomerat Turkiye, Cengiz Holding dan Kalyoncular Holding masing-masing menyumbang 2.5 bilion lira Turkiye (AS$132.6 juta) dan 950 juta lira (AS$50.4 juta).
Firma penerbangan negara, Baykar dan syarikat penerbangan Turkish Airlines menderma 2 bilion lira (AS$106 juta) setiap satu.
Sumbangan yang dikumpul melalui kempen itu akan diserahkan kepada Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Turkiye.
