JOHOR BAHRU 15 Feb. – Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi tidak akan menawarkan diri bertanding jawatan UMNO di peringkat pusat termasuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan Mac ini.
Beliau yang mahu memberi tumpuan kepada usaha untuk mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri Johor sebaliknya menawarkan diri untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam.
Onn Hafiz sebelum ini disaran bertanding untuk kerusi Ketua Pemuda UMNO berikutan kekosongan yang ditinggalkan oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu.
Beliau dilihat sebagai calon yang sesuai untuk jawatan itu selepas calon popular, naib ketua Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.
Melalui kenyataan di Facebooknya hari ini, Onn Hafiz berkata, “Saya telah berdoa meminta petunjuk, ilham dan hidayah dari Allah SWT,”
Pada masa yang sama, beliau mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk ahli keluarga, sahabat-sahabat, pemimpin-pemimpin, jentera akar umbi terutamanya di Bahagian Simpang Renggam berhubung jawatan yang sesuai untuk beliau menawarkan diri
Berikutan itu beliau telah membuat keputusan untuk terus memberi fokus khidmat bakti kepada negeri Johor dan berusaha untuk mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri Johor.
“Oleh itu, saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan di peringkat pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri ingin menawarkan diri untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam bagi pemilihan penggal ini.
“Semoga keputusan ini diredai dan dirahmati Allah SWT. Saya merayu dan memohon sokongan dari perwakilan UMNO Simpang Renggam,” katanya.
Setakat ini, dua individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO itu, iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Armand Azha Abu Hanifah dan Setiausaha Pemuda UMNO, Hasmuni Hassan.
Onn Hafiz pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong pada 2013 hingga 2018 dan dalam masa sama sebagai Exco Pemuda UMNO serta Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan ketika itu, Hishammuddin Hussein.
Beliau kemudiannya diberikan tempat untuk menjawat jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada tahun 2018 sebelum menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang.
Apabila Barisan Nasional (BN) menerajui kepimpinan negeri Johor selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Onn Hafiz dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pelancongan Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut dilihat sebagai seorang pemimpin yang semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Menteri Besar Johor selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.
