(Foto FB Lawrence Wong)
SINGAPURA: Bagi membantu mengharungi tempoh kenaikan inflasi sekarang, rakyat Singapura akan menerima bayaran tunai lebih tinggi di bawah skim baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Pakej Jaminan.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong. yang juga Menteri Kewangan ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2023 semalam berkata, langkah itu juga bagi mengimbangi kesan kadar GST yang lebih tinggi.
Kadar GST naik kepada 8 peratus tahun ini dan akan dinaikkan lagi kepada 9 peratus pada 2024.
Menurut Wong, Skim Baucar GST (GSTV) membantu menampung perbelanjaan GST secara tetap bagi warga Singapura bergaji rendah dan sederhana.
Di bawah skim tersebut, kuantum tunai akan diberikan kepada warga Singapura berusia 21 dan ke atas dengan taksiran gaji tahunan sehingga S$34,000.
Katanya, bayaran tunai akan meningkat daripada S$500 kepada S$700 tahun ini dan kepada S$850 mulai tahun depan bagi warga Singapura yang layak dan tinggal di rumah dengan nilai tahunan sebanyak S$13,000 atau lebih rendah.
Ia meliputi semua flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan sebilangan hartanah privet nilai lebih rendah.
Di samping itu, pemerintah juga akan memberikan “bayaran khas kos sara hidup” sekali sahaja kepada warga Singapura yang layak berumur 21 tahun dan ke atas tahun ini, mempunyai taksiran pendapatan tahunan di bawah S$100,000 dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.
Bergantung pada jumlah pendapatan yang diperoleh individu itu, mereka akan menerima bayaran antara S$200 hingga S$400 yang akan diagihkan pada bulan Jun kepada kira-kira 2.5 juta warga dewasa Singapura.
Semua isi rumah Singapura juga akan mendapat baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebanyak S$300 lagi pada Januari 2024.
Sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan, kira-kira 2.9 juta rakyat dewasa Singapura akan menerima antara S$700 dengan S$2,250 secara keseluruhan dalam tempoh lima tahun, satu tambahan sehingga S$650 daripada pakej bantuan yang diumumkan sebelum ini.
Jumlah tersebut bergantung kepada gaji dan jumlah hartanah yang dimiliki.
Contohnya, mereka yang menerima gaji sehingga S$34,000 setahun dan memiliki sehingga satu hartanah boleh menerima kuantum tertinggi sebanyak S$2,250 dalam tempoh lima tahun, manakala, yang bergaji lebih S$100,000 setahun atau memiliki lebih daripada satu hartanah akan menerima kuantum terendah bernilai S$700.
Wong ketika membentangkan belanjawan bertemakan Melangkah Ke Hadapan dalam Era Baharu”, berkata, belanjawan negara disasarkan untuk membina keupayaan republik itu serta merebut peluang dalam era baharu pembangunan global.
Katanya , belanjawan tahun ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk melakar hala tuju baharu Singapura dan ia tertumpu kepada tiga teras utama untuk menjamin masa depan dalam era baharu.
Menurutnya, di bawah teras utama pertama “mengembangkan ekonomi dan mempersiapkan tenaga kerja” Singapura akan menggandakan usahanya untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi.
“Kita akan menumpukan kepada sektor pertumbuhan yang mana kita boleh lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata Singapura bukan sahaja menerajui pusat kewangan antarabangsa di Asia tetapi juga merupakan hab dagangan global dengan kekuatan dalam pengangkutan dan logistik.
Kita juga ada sektor pembuatan yang kukuh yang disokong oleh segmen utama seperti elektronik, kimia dan sains bioperubatan.
“Ciri-ciri dan kekuatan ini akan membolehkan kita menarik lebih banyak syarikat multinasional untuk membuka pejabat serantau atau malahan operasi global dan ibu pejabat mereka di Singapura,” katanya.
Dua teras utama lain untuk menjamin masa depan dalam era baharu lain adalah “mengukuhkan impak sosial dan membina negara berdaya tahan.”
Bagi tahun kewangan 2023, republik itu menjangkakan defisit kecil sebanyak S$0.4 bilion (S$1=RM3.27) atau 0.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
