Ahmad Faisal Wakil Tetap PBB

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Kementerian Luar mengumumkan pelantikan Dr Ahmad Faisal Muhammad sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS).

Turut dilantik Nur Izzah Wong Mee Choo sebagai Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Indonesia.

Menteri Luar, Dr Zambry Abdul Kadir menyerahkan surat pelantikan kepada Ahmad Faisal dan Nur Izzah pada majlis di Wisma Putra, semalam.

Sebelum ini, Ahmad Faisal merupakan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland, sejak 2019.

Beliau memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari London School of Economics and Political Science di United Kingdom (UK), serta memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1994.

Selain berpengalaman berkhidmat di pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Singapura dan Moscow, Russia, Ahmad Faisal juga pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Myanmar (2011-2014).

Beliau juga pernah memegang jawatan Penasihat/Pengarah di Bahagian Hubungan Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri (2014-2018).

Pada peringkat Kementerian Luar, beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Tugas-Tugas Khas serta Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan.

Sementara itu, Nur Izzah pula berkelulusan sarjana dalam bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta menyertai perkhidmatan awam sebagai PTD pada 1996.

Sebelum ini, beliau adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand sejak 2018 dan ditauliahkan serentak ke Cook Islands dan Samoa.

Di Kementerian Luar, beliau berpengalaman memegang jawatan Setiausaha Bahagian Inspektorat serta ditugaskan di Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala, Bahagian Asia Timur dan Asia Selatan, Bahagian Penerangan dan Bahagian ASEAN. Beliau juga pernah berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China.

Related posts

Leave a Comment