KUALA LUMPUR 11 Feb. – Seorang lagi mangsa nahas van persiaran di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands, kelmarin, meninggal dunia, semalam menjadikan jumlah korban insiden berkenaan kini mencecah lapan orang.
Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata korban kelapan itu dikenali sebagai Chew Chong Beh, 73, yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.46 tengah hari semalam .
Sebelum itu, katanya, enam mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL.
Katanya, empat lagi mangsa yang cedera masih menerima rawatan di HKL dan seorang di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar hospital.
Dalam kenyataannya malam tadi, beliau memaklumkan sehingga pukul 6 petang, lapan mangsa disahkan meninggal dunia.
Sebelum ini Ramli berkata, nahas berlaku apabila van terbabit dipercayai hilang kawalan di jalan berselekoh sebelum terbabas dan melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan.
Selain pemandu, katanya, van terbabit membawa 13 penumpang membabitkan seorang lelaki dan 12 wanita berusia 49 hingga 78 tahun yang dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Genting Highlands.
“Polis Pahang mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa,” katanya.
