PUTRAJAYA 11 Feb. – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tampil menjawab pelbagai persoalan berikutan pengumumannya bahawa pemilik kenderaan persendirian tidak perlu mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing.
Loke menerusi hantaran dalam Facebook berkata, selepas mengumumkan cukai jalan tidak lagi diwajib untuk dipaparkan di cermin kenderaan, semalam, banyak persoalan yang timbul.
Justeru, beliau memberikan pencerahan kepada beberapa soalan yang sering dikemukakan oleh para pengguna.
Berikut penjelasan beliau mengenai persoalan orang ramai:
ADAKAH wajib untuk download apps “MyJPJ”?
Tidak. Ia adalah salah satu opsyen sahaja untuk mendapat salinan digital untuk road tax dan lesen memandu.
KALAU tak dapat download apps MyJPJ sekarang dan tak dapat tunjuk digital road tax, adakah saya akan disaman?
Tidak. Pihak penguatkuasa boleh mengesahkan status road tax dan lesen melalui sistem dalam gadget penguatkuasaan.
ADAKAH road tax dan lesen memandu masih perlu dibayar selepas tempoh sah tamat?
Ya. Perlu dibayar. Hanya sticker tak perlu ditampal.
KALAU warga emas yang tak ada smart phone dan kawasan yang tak ada internet, macam mana?
Jangan bimbang, digital format bukan diwajibkan. Masih boleh dapatkan sticker road tax dan lesen fizikal dari JPJ sekiranya perlu.
KALAU kereta bukan dipandu oleh pemilik, macam mana tunjukkan digital road tax?
Senang sahaja, digital road tax boleh dicetak dalam kertas dan simpan dalam kereta. Namun, kalau tak dapat tunjuk bukti pun, bukan satu kesalahan…pihak penguatkuasa akan check butiran dalam gadget mereka.
MENGAPA saya tak dapat login MyJPJ sejak pagi tadi?
Seperti mana-mana sistem yang baru, sudah tentu ramai orang ingin mendaftar pada masa yang sama. Trafik yang sangat tinggi.
Sementara itu Loje sedar banyak lagi persoalan orang ramai dan pihaknya akan cuba memberi penerangan yang sejelas-jelasnya kerana apa sahaja proses perubahan akan mengambil masa untuk disesuaikan.
“Ada pihak yang tidak akan setuju dengan perubahan tersebut.Saya menghormati semua pandangan dan cuba menguruskan perubahan sebaik mungkin. Sama-sama kita menuju ke arah yang lebih baik,” katanya.
