PUTRAJAYA 5 Feb. – Umat Islam dinasihatkan tidak terlibat atau mengambil bahagian dalam sambutan Hari Thaipusam pada Ahad ini kerana ia merupakan acara peribadatan agama yang khusus kepada para penganutnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar
berkata, nasihat itu berpandukan kepada ketetapan panduan yang telah dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Ketetapan itu adalah Islam membataskan hubungan tersebut di dalam perkara-perkara kepercayaan dan amalan keagamaan.
“Batas tersebut sebagai sempadan yang damai, bersemangat toleransi dalam menerima kebebasan dalam mengamal kepercayaan dan amalan agama masing-masing.
Justeru, dengan prinsip ini umat Islam adalah dilarang daripada terlibat menyertai apa-apa ritual perayaan agama bukan Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip akidah Islam,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam.
Pada masa yang sama, Mohd Na’im meminta seluruh rakyat Malaysia agar menghormati perayaan setiap agama di negara kerana ia adalah asas kerukunan hidup yang harmoni di antara penganut agama.
“Agama Islam juga menyeru supaya umat Islam sentiasa menjaga kerukunan dalam masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata, perpaduan dalam konteks kemajmukan masyarakat di Malaysia terus direalisasikan menerusi sikap dan amalan saling hormat menghormati terhadap tatacara kepercayaan setiap ajaran agama masing-masing.
“Keharmonian dalam bernegara adalah kunci perpaduan, keamanan jua kemakmuran negara,” katanya.
