202 kes baharu Covid-19, satu kematian

PUTRAJAYA 5 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini semalam adalah 202 kes yang meliputi 196 kes tempatan dan enam kes import berbanding 340 kelmarin yang membawa kepada jumlah keseluruhan 5,037,784 kes.

Menurut data portal KKMNow, setakat semalam jumlah keseluruhan kes tempatan adalah 4,999,155 manakala kes import pula 38,629.

Satu kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah yang meninggal akibat Covid-19 kekal 36,943 orang termasuk 7,870 kes meninggal dunia di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam adalah 10,136 berkurangan 74 kes berbanding kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,758 kes atau 96.3 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 372 pesakit mendapat rawatan di hospital di mana enam pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) yang kesemuanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 275 pesakit baharu dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,990,705 orang.

Sementara itu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 65 kes diikuti
Selangor 58, Melaka 17, Pulau Pinang 13, Sarawak 8, Johor dan Negeri Sembilan masing-masing 7, Kedah dan Perak masing-masing 6, Kelantan 4.

Pahang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya masing-masing 3 kes, Sabah 2, Perlis 1 manakala Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan tiada kes baharu direkodkan.

Related posts

Leave a Comment