Kes jangkitan harian di bawah 500

PUTRAJAYA 31 Jan. – Kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini masih di bawah 500 kes apabila merekodkan 198 kes tempatan dan empat kes import berbanding 269 kes kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,036,342

Menurut data portal KKMNow,  setakat semalam jumlah keseluruhan kes tempatan adalah 4,997,726 manakala kes import pula 38,616.

Dua lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 36,942 orang termasuk 7,870 kes meninggal dunia di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan pada Isnin meningkat kepada 9,539 pertambahan 59 kes berbanding 9,480 kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,135 kes atau 95.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 381 pesakit mendapat rawatan di hospital di mana 23 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 12 pesakit pula memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negara juga mencatatkan 141 kes sembuh menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,989,861 orang.

Sementara itu, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 81 manakala tiada kes baharu direkodkan di Perlis, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Related posts

Leave a Comment