Madius sedia hadapi Maximus Ongkili

KOTA KINABALU 31 Okt. – Penyandang kerusi Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja yang akan diletakkan di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, ia termasuk  Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili yang dikhabarkan mungkin berpindah kerusi pilihan raya kali ini.

“Kalau sahabat kita Presiden PBS (Maximus) mahu datang, sebagai satu sistem demokrasi dan kita bersedia menghadapi sesiapa sahaja pencabar,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengumumkan lima calon UPKO pada PRU15, di sini pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan, Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) mungkin bertanding di kerusi Parlimen Tuaran atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyerahkan kerusi yang disandangnya di Parlimen Kota Marudu kepada muka baharu.

Madius berkata, tawaran yang mahu diberikan oleh UPKO sebagai salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) adalah penubuhan sebuah kerajaan Persekutuan yang lebih berwibawa.

Katanya lagi, agenda dibawa oleh PH adalah memastikan hak rakyat adalah sama rata tanpa membezakan kaum mahupun agama.

“Kalau sebelum ini sebagai contoh, walaupun saya ahli Parlimen Tuaran, saya tidak dibenarkan membuat layanan di kawasan-kawasan tertentu di Tuaran. Itu selama saya berkhdimat sebagai ahli Parlimen (mewakili) Barisan Nasional (BN).

“Ini satu perkara yang penting dan pada kali ini kita bebas dan mahu melayani semua rakyat,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment