PUTRAJAYA 17 Julai – Selangor terus mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19 ketika jumlah jangkitan harian seluruh negara semalam turun tetapi masih melepasi angka 5,000 dengan merekodkan 5,047 berbanding 5,230 kelmarin.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tiga kes import direkodkan manakala empat orang meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan 35,848 kematian dengan satu kematian melibatkan kes di luar fasiliti hospital, ‘brought-in-dead’ (BID).
Jumlah kes aktif Covid-19 dalam negara ketika ini sebanyak 42,481, tambahan sebanyak 1,273 kes di mana 40,923 individu atau 96.3 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.
Manakala 1,449 pesakit dirawat di hospital dengan 60 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Sementara itu Selangor merekodkan 1,925 kes semalam berbanding 1,877 yang dilaporkan kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada 1,407,649.
Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 1,365 kes, turun sedikit berbanding 1,584 kelmarin, disusuli Perak 306 (399), Negeri Sembilan 276 (236), Sabah 274 (261) Pulau Pinang 265 (219), Melaka 128 (140), Wilayah Persekutuan Putrajaya 116 (102) dan Kedah 113 (76).
Negeri yang mencatatkan di bawah 100 kes adalah Sarawak 74 berbanding 68 kelmarin, Johor 73 (107), Pahang 56 (70), Kelantan 37 (48), Terengganu 22 (23), Perlis 9 (8) dan Wilayah Persekutuan Labuan 8 (12).
