Pemilihan: RoS minta penjelasan PKR

SHAH ALAM 17 Julai – Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah meminta PKR memberikan penjelasan berhubung pelbagai aduan berkaitan proses pemilihan parti itu yang berlangsung baru-baru ini, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata notis RoS berkaitan perkara itu sudah diterima, dengan setiausaha agung diminta mengemukakan penjelasan terhadap sejumlah aduan yang sampai kepada pihak terbabit berkaitan proses pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

Menurutnya, notis tersebut diterima berikutan tindakan beberapa ahli parti yang membuat laporan kepada RoS berhubung keputusan pemilihan parti sebelum ini.

Katanya, sejurus mendapat surat itu, perkara pertama terfikir, beliau mesti bersedia untuk keadaan paling sukar seumpamanya yang berlaku kepada DAP pada 2013 dan MIC pada 2015.

“Tapi percayalah, dengan sokongan pemimpin lama dan baharu, tugas saya yang terakhir sekarang, untuk minit-minit terakhir ini…

“Saya, Saifuddin Nasution akan mempertahankan parti ini sehabis daya dari sebarang tindakan yang akan datang dari RoS,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan Ke-16 di sini.

Sebelum ini, media melaporkan ada beberapa ahli PKR membuat laporan polis dan kepada RoS berhubung keputusan pemilihan parti  manakala Jawatankuasa Pemilihan Parti menerima sejumlah 1,800 aduan berhubung isu pemilihan itu.

Turut memberi respons berhubung isu ini adalah Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil yang menganggap tindakan sebegitu seumpama membuka ruang untuk musuh menyerang parti.

Tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota dan pemimpin untuk mempertahankan part termasuk keputusan dibuat berkaitan calon yang diketengahkan dalam pilihan raya umum (PRU).

“Jangan beri musuh kita peluru….saya sangat terkilan apabila ada beberapa rakan kita yang buat laporan polis dan RoS. Kenapa serahkan leher dan tengkuk kita kepada musuh?

“Kita tahu mereka (pihak lawan) risau dengan adanya Anwar (Presiden PKR, Anwar Ibrahim) dan Rafizi (Timbalan Presiden, Rafizi Ramli) kerana ia kekuatan paling kuat yang boleh sediakan PKR ke arah menerajui Putrajaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Ahad.

Sementara itu dalam ucapan sama, Saifuddin menafikan beliau bersama Presiden PKR, terbabit dalam pemilihan juruaudit bagi menyempurnakan urusan pengundian ketika pemilihan lalu.

“Pemilihan susah selesai. Kalau ada bantahan yang melantik ‘auditor’ (juruaudit) adalah Presiden dan Setiausaha Agung, ini satu fitnah terbesar.

“Siapa lantik JPP? MPP (Majlis Pimpinan Pusat) berasaskan ketetapan perlembagaan parti. Siapa lantik JPP? MPP bukannya Presiden dan bukannya Setiausaha Agung.

“Siapa lantik auditor? JPP, bukan Presiden atau Setiausaha Agung,” katanya.

Related posts

Leave a Comment