BA.4, BA.5 lonjak kes Covid-19

GENEVA: Dua sub-varian baharu Omicron BA.4 dan BA.5 melonjakkan kes Covid-19 di Afrika Selatan, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Justeru PBB, menekankan kepentingan ujian saringan untuk memantau mutasi dan penyebaran virus.

Varian Omicron yang sangat bermutasi dan sangat mudah ditularkan bagi Covid-19, yang pertama kali dikesan di selatan Afrika pada November tahun lalu kini merebak dengan cepat ke seluruh dunia, sekali gus menjadi varian dominan, merangkumi hampir semua kes baharu.

Omicron telah lama diketahui mempunyai beberapa sub-varian, dengan BA.2 yang paling dominan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata saintis Afrika Selatan yang mula-mula mengenal pasti Omicron mengesan dua lagi sub-varian Omicron lain, BA.4 dan BA.5, sebagai punca peningkatan kes di negara itu.

Dalam laporan epidemiologi terbarunya, agensi kesihatan PBB itu berkata sub-garis keturunan memperoleh beberapa mutasi tambahan yang mungkin memberi kesan kepada ciri-ciri mereka.

Tedros berkata terlalu awal untuk mengetahui sama ada subvarian baharu ini boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk daripada subvarian Omicron yang lain.

Bagaimanapun, beliau berkata, data awal mencadangkan vaksinasi tetap melindungi daripada penyakit yang teruk dan kematian.

Dengan jumlah kes yang disahkan oleh makmal hampir 3.8 juta dan lebih 100,000 kematian, Covid-19 melanda Afrika Selatan lebih teruk berbanding negara lain di benua itu.

Negara itu, di mana kurang daripada 45 peratus orang dewasa menerima dua suntikan vaksin Covid-19 menyaksikan penurunan kes mendadak dan buat pertama kali dalam tempoh hampir dua tahun, ia tidak merekodkan kematian selama dua hari pada Mac lalu.

Pada awal April, negara itu menarik balik semua sekatan Covid-19 tetapi sejak itu, kes meningkat semula, melonjak hampir 50 peratus pada minggu lalu, menurut data WHO.

“Cara terbaik melindungi rakyat adalah vaksinasi, di samping langkah kesihatan awam dan sosial yang diuji,” kata Tedros.

WHO secara rasmi merekodkan lebih 6.2 juta kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia sejak permulaan wabak itu, tetapi jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

Jumlah kes dan kematian yang baru dilaporkan kini menurun secara global, dan kini turun ke tahap terendah sejak Mac 2020.

Bagaimanapun jumlah global yang semakin berkurangan mungkin disebabkan oleh pengurangan ketara dalam ujian untuk virus itu.

Related posts

Leave a Comment