KUCHING 5 Dis. – Hanya satu kerusi ! Itu keputusan Pas sekali gus menjawab teka teki mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Calon tunggal Pas itu diletakkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu akan bertanding kurang daripada 11 kerusi, dan penyertaan pada PRN Sarawak kali ini dijadikan sebagai kayu pengukur gerak kerja parti tersebut di negeri berkenaan.
Manakala Penolong Setiausaha Pas Sarawak, Syamsul Bahrie Mohamad dilaporkan berkata, parti itu akan bertanding di 11 kerusi iaitu DUN Kemena, Beting Maro, Semariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.
Semalam, di Kepala Batas, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, parti itu akan tetap bertanding, namun jumlah kerusi dan siapa yang bertanding hanya akan diketahui pada hari penamaan calon esok, 6 Disember.
Bagaimanapun Tuan Ibrahim menjawab persoalan itu tanpa menunggu hari penamaan calon apabila beberapa jam selepas kenyataan Idris, beliau mengumumkan calon tunggal parti itu, Setiausaha Pas negeri Mohammad Arifiriazul Paijo.
Menurut Tuan Ibrahim keputusan meletakkan seorang calon dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk situasi terkini Covid-19 dalam negara.
“Pas juga mahu memelihara hubungan di peringkat pusat dengan kerajaan pelbagai parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Pas PRN12 Sarawak, semalam.
Mohammad Arifiriazul, 37, merupakan usahawan dan pernah bertanding di Lambir, satu daripada 11 kerusi yang ditandingi Pas pada PRN11.
Pada PRN Sabah sebelum ini, Pas tidak bertanding selepas gagal dalam rundingan pembahagian kerusi walaupun pada peringkat awal mengumumkan akan bertanding di 10 kerusi.
Pas bagaimanapun bertanding di PRN Melaka atas tiket Perikatan Nasional (PN) tetapi kesemua lapan calonnya tewas.
