Sinovac dos penggalak di Pulau Pinang

TANJONG 30 Nov. – Pulau Pinang akan mula memberikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac sebagai suntikan dos penggalak pada Disember ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Norlela Ariffin

Katanya, langkah itu bagi meningkatkan jumlah penerima dos penggalak di negeri itu berikutan terdapat penerima yang enggan menerima vaksin jenis Pfizer sebagai dos penggalak kerana telah menerima Sinovac untuk dos pertama dan kedua.

Beliau memberitahu, Sinovac dan AstraZeneca baru-baru ini diluluskan sebagai vaksin dos penggalak.

“Pulau Pinang mempunyai lebih kurang 200,000 dos vaksin Sinovac dan kita akan mula memberi vaksin ini kepada mereka yang menolak vaksin Pfizer pada bulan Disember akan datang,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gooi Hsiao-Leung (PKR-Bukit Tengah) tentang perancangan kerajaan negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 untuk warga Pulau Pinang.

Norlela berkata sehingga 29 November, jumlah penerima dos penggalak di Pulau Pinang adalah 84,541 orang, iaitu antara lima negeri terendah yang penduduknya telah menerima suntikan tersebut walaupun pelbagai pendekatan dilaksanakan.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri sedang bekerjasama dengan pihak ProtectHealth Corporation Sdn Bhd bagi meningkatkan penglibatan fasiliti swasta dari segi bilangan dan juga penambahan dos di fasiliti yang sedang melaksanakan pemberian dos penggalak.

Katanya setakat 24 November , terdapat 86 klinik swasta, lapan hospital swasta dan tiga pusat pemberian vaksin yang menawarkan suntikan dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment