PUTRAJAYA 21 Nov. – Kementerian Kesihatan melaporkan 38 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 29,978,.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 5 daripada 38 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut.
Sementara itu, terdapat 69,485 kes aktif Covid-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 55,346 individu atau 79.7 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 8,004 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), 5,606 kes dirawat di hospital dan 529 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 268 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 261 lagi memerlukan mesin ventilator.