Pengesanan kontak lonjak kes

KUCHING 12 Sept. – Peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Sarawak adalah berikutan peningkatan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutama di lokaliti yang mempunyai kluster aktif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, data turut merekodkan kadar positif meningkat kepada 18.8 peratus sekali gus menunjukkan penularan Covid-19 berlaku secara meluas dalam komuniti.

Katanya, bilangan sampel yang tinggi telah membebankan kapasiti makmal serta memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperoleh keputusan ujian.

Keadaan ini turut mengakibatkan banyak sampel yang tertunggak sehingga lima hari.

Menurut beliau, 5,291 kes baharu hari ini adalah dari 28,065 keputusan sampel yang diuji. Kadar positif adalah 18.8 peratus dan kadar ini meningkat dari purata 14.5 peratus.

Bagaimanapun tambahnya, 99.9 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini merupakan kes kategori satu dan dua.

Ujarnya, walaupun terdapat tunggakan masa dalam memperoleh keputusan, semua kontak yang berisiko telah diberi Home Surveillance Order (HSO) bagi mengelak penyebaran dalam komuniti.

Untuk itu, JKNS sedang dan akan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi semasa di Sarawak.

‘’Langkah-langkah penambahbaikan dijalankan mengikut situasi semasa dan penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen akan digunakan lebih meluas di seluruh Sarawak.

‘’Ini bagi mengenal pasti kes positif dengan kadar yang cepat agar tindakan kawalan dapat dilakukan dengan pantas,” katanya.

Related posts

Leave a Comment