PUTRAJAYA 3 Sept. – Sebanyak 180,000 dos vaksin CanSino, pelalian satu dos dihantar ke Sabah secara berperingkat, bermula 28 Ogos lalu hingga Isnin ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata mulai hari ini 2,000 dos vaksin berkenaan diagihkan ke Pulau Mabul selama dua hari.
Katanya, petugas kesihatan diiringi anggota polis ke Pulau Mabul hari ini untuk pemberian vaksin CanSino.
Setakat hari ini, sebanyak 44,000 dos vaksin CanSino telah diterima Sabah.
Aktiviti pemberian vaksin CanSino diteruskan kepada penduduk di Pulau Mabul yang akan dijalankan selama dua hari, membabitkan 1,000 dos pada hari ini dan 1,000 lagi esok, selain 500 dos di Nabawan.
Dalam ciapan melalui Twitter hari ini, Khairy berkata, vaksin itu telah diagihkan ke Pulau Sebatik membabitkan 2,400 dos, dan 1,200 dos lagi di pedalaman Kinabatangan, pada 29 serta 30 Ogos lalu.
