BANGKOK 20 Ogos – Thailand hari ini melepasi satu juta kes jangkitan Covid-19 setelah 19,851 kes baharu direkodkan hari ini.
Jumlah kematian pula meningkat kepada 8,826 orang berikutan 240 lagi dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19.
Daripada jumlah kes harian hari ini, sebanyak 19,526 kes berkaitan penduduk awam (termasuk 10 kes import) dan 325 lagi dalam kalangan banduan .
Sebanyak 20,478 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 795,805 pesakit pulih.
Sejak gelombang ketiga, sebanyak 980,847 kes Covid-19 direkodkan, 768,379 kes sembuh, 8,732 kematian dan sejak bermula awal tahun lalu terdapat 1,009,710 kes dengan 795,805 kes sembuh dan 8,826 kematian.
Kematian termuda direkodkan adalah bayi tujuh bulan dan kanak-kanak berusia dua tahun manakala tertua 93 tahun dengan 68 peratus kematian adalah orang tua.
Bangkok merekodkan 75 kematian serta merekodkan kes harian tertinggi iaitu 4,181 kes diikuti Samut Sakhon 1,556 , Chonburi 1,348 , Samut Prakan 1,055, Nakhon Ratchasima 575, Saraburi 494, Pathum Thani 461, Nakhon Pathom 460, Ayutthaya
453 dan Rayong 414.
Sepuluh kes import pula adalah ketibaan dari Perancis (1), Israel (2), Kemboja(5) dan Malaysia (2).
Setakat semalam, sebanyak 205,079 pesakit mendapatkan rawatan di hospital, di mana 5,388 kritikal dan 1,161 bergantung kepada bantuan pernafasan.
