Tiada tarikh sifar risiko Covid-19

LONDON : “Tidak akan ada tarikh yang sifar risiko Covid-19. Kita tahu bahawa kita tidak boleh dengan mudah menghapuskannya. Kita harus belajar untuk hidup dengannya,” Itu kata Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid.

Beliau yang baharu dilantik ke jawatan itu menggantikan Matt Hancock memberitahu House of Commons, tidak ada alasan untuk mengekalkan sekatan sosial yang dilaksanakan ketika ini selepas tarikh 19 Julai.

“Saya menghabiskan hari pertama saya sebagai menteri kesihatan baru semalam melihat data dan mengujinya. Walaupun kita memutuskan untuk tidak meneruskan fasa keempat, kita tiada alasan untuk melepasi 19 Julai.

“Kita juga tahu bahawa orang ramai dan perniagaan memerlukan kepastian. Oleh itu, kita mahu setiap langkah yang kita ambil tidak terkebelakang,” katanya pada Isnin ketika wujud kebimbangan peningkatan berterusan jangkitan baharu Covid-19.

Beliau memberitahu Parlimen bahawa, kerajaan terhutang budi dengan rakyat United Kingdom (UK) yang telah banyak berkorban untuk mengembalikan kebebasan mereka secepat mungkin.

Katanya, tarikh 19 Julai dianggap permulaan perjalanan baharu yang mengujakan untuk negara itu.

UK pada Isnin merekodkan 22,868 kes jangkitan baharu, satu jumlah peningkatan yang besar akibat daripada varian Delta yang mudah menular dan mendominasi negara itu ketika ini.

Related posts

Leave a Comment