BANDAR SERI BEGAWAN 26 Jun – Dua lagi kes import Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 259 orang.
Ini menjadikan jumlah kes import yang dicatatkan setakat ini adalah 118 manakala kes jangkitan tempatan terakhir direkodkan pada 6 Mei 2020.
Menurut Kementerian Kesihatan, kedua-dua kes melibatkan ketibaan individu dari Indonesia pada 13 Jun lalu.
Kes 258 ialah seorang lelaki berumur 38 tahun yang tiba dari Indonesia melalui Singapura dan mengalami sakit tekak selama lima hari, batuk dan hilang deria rasa sejak 20 Jun 2021.
Manakala Kes 259 ialah seorang perempuan berumur 39 tahun yang tiba dari Indonesia pada 13 Jun 2021 dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.
Siasatan mengesahkan tidak ada kontak rapat bagi kedua-dua kes baharu ini memandangkan mereka telah dikuarantin sebaik sahaja tiba ke negara ini.
Setakat ini 11 kes aktif masih menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemuanya dalam keadaan baik manakala jumlah keseluruhan kes sembuh seramai 245 orang.
