WASHINGTON 22 April – Janji pilihan raya Presiden 100 juta 100 hari tetapi hari ini Amerika Syarikat (AS) berjaya mengagihkan 200 juta dos vaksin Covid-19 dalam tempoh 100 hari pentadbiran, Joe Biden.
Berikutan pencapaian itu, fasa baharu akan bermula dalam usaha untuk terus meningkatkan langkah memvaksinasi bagi melindungi rakyat negara itu.
“Ketika ini kita sudah mencapai sasarannya. Kita akan memasuki fasa baharu dalam usaha vaksinasi,” kata Biden dalam ucapannya di White House hari ini.
Sambil mengingatkan vaksin dapat melindungi diri sendiri selain orang sekeliling, beliau juga menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kejayaan rakyat Amerika.
“Satu penyatuan dan kesungguhan yang menyeluruh. Dan ini adalah peringatan terhadap apa yang penyatuan dapat lakukan kepada kita dalam mencapai matlamat sama, “ katanya.
Kerajaan AS kini dalam usaha meningkatkan lagi pendaftaran vaksinasi yang dilihat semakin berkurangan melalui penawaran insentif cukai kepada pekerja yang mendapatkan suntikan vaksin.
Sebelum ini, Biden mengumumkan pelepasan cukai kepada syarikat kecil untuk meluluskan cuti bagi pekerja mereka mendapatkan vaksin atau bagi mereka yang memerlukan cuti sakit akibat kesan sampingan vaksin.
Pelepasan cukai itu akan dikreditkan sehingga AS$511 sehari bagi setiap pekerja untuk syarikat yang kurang daripada 500 pekerja.
Data yang dikeluarkan White House, hanya 43 peratus pekerja dewasa sudah menerima suntikan pertama vaksin.
