KUALA LUMPUR 16 Mac – Solat sunat Tarawih berjemaah di masjid dan surau, operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri akan dibenarkan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, paling penting prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan akan ditentukan pihak berkuasa agama negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri masing-masing.
Katanya,apa yang penting adalah SOP perlu dipatuhi sepenuhnya, antaranya seperti lokasi bazar di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala, pintu masuk dan keluar berbeza, pendaftaran MySejahtera di pintu masuk serta kawalan jumlah pengunjung.
Selain itu waktu operasi bazar Ramadan dari pukul 3 petang sehingga 8 malam dan bazar Aidilfitri mulai pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam.
Tahun lalu kesemua aktiviti bazar ditiadakan manakala solat Tarawih di rumah masing-masing.
