PKP di Song dan Kapit Sarawak

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan di dua lokaliti di Sarawak selama 14 hari bermula Selasa ini (2 Feb), kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata lokaliti itu ialah di Song dan Kapit berikutan kedua-dua daerah menunjukkan peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh 14 hari dengan kadar keberjangkitan yang tinggi. 

Dalam satu kenyataan, beliau berkata terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Song yang sebelumnya merupakan zon hijau dengan 93 kes direkodkan.

Di daerah Kapit, kes telah meningkat daripada tiada kes kepada 31 kes positif.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Johor iaitu di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan Kluang selama 14 hari sehingga 14 Feb ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD itu dibuat susulan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di dua kawasan terbabit.

Sehingga 29 Januari , KKM melaksanakan 198 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 108 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan 100 tahanan, enam kakitangan dan dua kontak rapat. 

Mengenai operasi pematuhan SOP, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 578 individu semalam yang menyaksikan 525 orang dikompaun dan 53 lagi direman.

Berhubung kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng pula, beliau berkata seramai 40 pendatang tanpa izin telah ditahan manakala sebuah kenderaan darat dan sebuah bot dirampas.

Related posts

Leave a Comment