Tidak berani berdepan pembangkang

SEPANG 20 Okt. – Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyifatkan tindakan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) memperlihatkan kerajaan tidak berani berdepan pembangkang melalui persaingan demokrasi yang adil.

Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin berkata, keputusan tersebut dibuat dalam tempoh hanya beberapa hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka pada 31 Oktober ini.

Katanya, keputusan hari ini jelas bertentangan dengan pendirian asal Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) seperti yang terkandung dalam surat bertarikh 6 Oktober 2026.

RoS seperti yang terkandung dalam surat bertarikh 6 Oktober 2026, menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh PN akan dijawab oleh RoS di peringkat mahkamah dalam prosiding semakan kehakiman.

“Setelah Mahkamah Tinggi pada 13 Oktober menetapkan pendengaran secara dua pihak pada 22 Oktober, PN menulis kepada RoS pada 14 Oktober supaya tiada tindakan diambil sebelum pendengaran tersebut. Namun surat itu tidak dijawab RoS.

Malah sehari sebelum perintah pembatalan dikeluarkan, iaitu pada 19 Oktober, pihak Peguam Negara sendiri menyatakan dalam hujahan kepada mahkamah bahawa proses pembatalan masih berjalan.

“Namun RoS tetap membatalkan pendaftaran PN, dua hari sebelum Mahkamah Tinggi bersidang,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Larut itu turut mengecam pembatalan berkenaan kerana ia dibuat berdasarkan dua tafsiran berbeza oleh RoS dalam pemakaian Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya pada 13 Julai lalu, empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Berdatu Malaysia (Bersatu) membuat aduan kepada RoS yang mempersoalkan kuorum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Namun dalam jawapannya pada 16 Julai, RoS merujuk Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dan menetapkan keputusan parti politik berhubung urusan dalamannya adalah muktamad.

RoS turut menyerahkan perkara tersebut untuk diputuskan secara dalaman mengikut perlembagaan parti dan menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan.

Namun apabila Bersatu membuat aduan terhadap PN, RoS tidak lagi menyerahkan tafsiran tersebut kepada parti, sebaliknya mentafsir sendiri Fasal 7.1 Perlembagaan PN, menolak tafsiran PN, lalu membatalkan pendaftarannya.

“Undang-undang yang sama, jabatan yang sama tetapi tafsiran berbeza mengikut pihak yang terlibat,” katanya.

Hamzah mendakwa, rangkaian tindakan RoS yang mentafsir undang-undang secara berbeza mengikut pihak terlibat, serta memilih hukuman paling berat tanpa penjelasan menggambarkan keputusan itu mengandungi unsur berniat jahat yang jelas.

Justeru, Wawasan menolak keputusan tersebut dan akan mempertahankan hak serta mandat rakyat melalui saluran undang-undang, bermula di mahkamah pada 22 Oktober ini.

“Parti-parti politik yang sehaluan dengan Perikatan Nasional juga akan memasuki medan PRN Melaka dengan strategi yang tepat, biarlah peti undi menjadi saksi kepada pilihan rakyat. Seluruh ahli dan penyokong diseru supaya kekal tenang dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Nnnnnnnn

Related posts

Leave a Comment