BANGI 18 Okt. – Sebanyak 500 asnaf di bawah kariah Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi dipilih menerima bakul makanan bernilai RM200 setiap satu, bagi memenuhi keperluan dapur serta meringankan perbelanjaan harian para penerima.
Agihan tersebut adalah wakalah zakat sebanyak RM100,000 daripada Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours (Andalusia) Ibrahim Mat Sin.
Ibrahim semasa majlis penutup Karnival Jelajah Impian & Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) Bangi pada 30 Ogos lalu mengumumkan tajaan umrah untuk 20 asnaf kariah masjid dan RM100,000 sebagai zakat wakalah, untuk asnaf yang layak.
Pada agihan hari ini, menerusi Yayasan Imanul Faiizin (YIF) yang dinaungi Andalusia, Ibrahim diwakili Ketua Pegawai Eksekutif YIF Fawwaz Abdul Hamid dan dua Pengurus Andalusia Mohd Nor Hanafie Mohd Zin (Putrajaya) dan Fatin Aalia Ibrahim (Bangi).
Hadir sama Nazir Masjid Al-Hasanah, Mohd Safian Abdul Rahman.
Sementara itu, Mohd Nor Hanafie dalam ucapannya berharap sumbangan itu dapat membantu memenuhi sebahagian keperluan dapur serta meringankan sedikit perbelanjaan harian setiap keluarga yang mempunyai tanggungjawab dan cabaran masing-masing.
“Bagi pihak ayahanda dan keluarga, kami berterima kasih atas peluang untuk berkongsi rezeki yang Allah SWT amanahkan dan pertemuan hari ini turut mengeratkan silaturahim antara kami dengan masyarakat di sekitar Bangi.
Semoga sumbangan ini membawa manfaat kepada keluarga penerima dan mendoakan Haji Ibrahim, supaya dikurniakan kesihatan yang baik, diterima zakat yang ditunaikan serta diberkati rezeki dan segala urusannya,” katanya.
Beliau juga berharap, kerjasama antara Andalusia, YIF dan Masjid Al-Hasanah dapat diteruskan dalam usaha menyantuni masyarakat.
Sementara itu, Mohd Safian berkata, pemilihan asnaf dibuat secara telus berdasarkan data masjid kira-kira 800 asnaf di kariah berkenaan yang turut diperoleh melalui 18 surau di bawah seliaan Masjid Al-Hasanah.
Katanya, mungkin ramai beranggapan di Bandar Baru Bangi tidak asnaf atau orang miskin tetapi hakikatnya ramai yang memerlukan bantuan.
Justeru beliau menyambut baik usaha Andalusia yang turut prihatin membantu asnaf di kariah berkenaan bukan sahaja bakul makanan tetapi juga menaja asnaf mengerjakan umrah baru-baru ini.
Sementara itu salah seorang penerima, Farizha Mohd Arif bersyukur kerana diberi peluang untuk mendapat sumbangan yang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban beliau yang juga mempunyai tanggungan ramai.
Beliau turut berterima kasih kepada Andalusia dan pihak masjid yang memberi peluang tersebut dan mendoakan agar bantuan untuk asnaf dapat diteruskan pada masa hadapan.
Seorang lagi penerima, Mohd Faizal Ibrahim juga bersyukur kerana dipilih menerima bantuan keperluan harian itu yang sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban untuk membeli barang makanan.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Andalusia dan masjid, beliau berkata, sekurang-kurangnya wang untuk membeli barang keperluan harian itu dapat digunakan untuk tujuan lain.
Nnnnn
